Tarikh lahir, buat duit, teori nombor, jana wang di Alam Suka-Suka 2-2

* PETIKAN ruangan bulanan 'BICARA NEO MASKULIN', majalah MASKULIN, terbitan KARANGKRAF (M), edisi Disember 2011.

Mimpi ketika sedar di alam suka-suka

Keluarkanlah diri anda daripada alam suka-suka. Alam suka-suka hanya dipenuhi oleh mimpi indah yang tidak memberi makna berkekalan. Ia dipenuhi dengan janji-janji manis yang terlalu manis untuk menjadi realiti. Jangan percaya dan jangan hiraukan langsung janji-janji ini kerana ia akan melemahkan personaliti, merosakkan identiti.

Hidup kita sudah pasti tidak ditentukan oleh bulan kelahiran, berdasarkan abjad dalam nama atau bermacam-macam tilikan lagi. Menjana wang ringgit juga perlu darah dan air mata, wang ringgit tidak akan jatuh ke riba anda hanya kerana anda sudah menyertai kursus atau seminar ‘jana wang, jadi jutawan’.

Ya, memang ada yang akan jadi jutawan dan dia tidak lain tidak bukan, adalah si tukang karut yang menjanjikan anda 1001 macam khayalan di alam realiti – khayalan yang hanya akan membuatkan anda lemah dan sedih apabila anda sedar bahawa di alam realiti, khayalan tidak memberi erti walaupun sebesar kuman.

Namun jika anda masih berkeras dan ingin tinggal lebih lama di alam suka-suka, jangan lupa hal yang telah berlaku kepada Pinocchio yang memilih untuk lari dari rumah dan tinggal di Pulau Impian. Akhirnya dia berubah menjadi keldai hodoh kerana terlalu asyik suka-suka...

[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

Hidupkan kembali kualiti keindividuan dalam diri!

Tidak ada sesiapa pun yang berhak untuk menyuruh anda keluar dari alam suka-suka. Malah jika anda senang di sana, teruskan sahaja jika anda merasakan ia baik dan elok untuk personaliti dan identiti. Dalam hidup kita ini, kita perlu memilih jalan yang terbaik buat diri kita. Pastikan anda membuat pilihan terbaik buat diri anda.

Jika anda memilih untuk hadir di alam realiti, mari kita semua cuba hidupkan kualiti keindividuan di dalam diri. Bekerja keras untuk menambah rezeki buat diri dan keluarga, memperbaiki kelakuan dan perangai kerana mengingati mati, semua ini adalah contoh kualiti keindividuan yang sebenar.

Di alam realiti anda dan saya akan menghadapi begitu banyak dugaan dan kita terpaksa melalui musibah dan tragedi yang boleh melanda pada bila-bila masa. Ada waktunya dilema, konflik dan masalah yang dihadapi terlalu menekan jiwa dan mencengkam hati. Ada detik-detik yang bakal dipenuhi tangisan dan air mata. 

Akan tetapi, akan ada juga episod yang dipenuhi kegembiraan sebenar yang hanya boleh dikecapi oleh individu yang telah berusaha dengan ikhlas dan sudah melakukan segala yang termampu untuk menentukan takdir hidupnya, walaupun mungkin kejayaan atau rezeki yang dikumpul tidaklah sehebat angan-angan.

Ucapan penghargaan daripada ahli keluarga dan doa mereka demi kesejahteraan anda di dunia ini dan selepas mati, senyuman manis daripada teman kekasih atas tanda ingatan anda kepadanya, kepuasan yang anda rasai hasil daripada melakukan perkara-perkara yang baik lagi elok – walaupun hanya seketika, episod-episod seperti ini akan lebih memberi erti dan juga makna kepada kita semua berbanding 10,000 tahun yang sudah dihabiskan di alam suka-suka.

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *